Saturday, 13 April 2013

SEBERKAS SEPI

  Bismillahirahmanirrahim..segala yang berlaku di atas kehendaknya,jika Dia mahukan sesuatu itu berlaku pasti ia akan berlaku "Kun Faya Kun". Kisah ini saya abadikan sebagai iktibar & pengajaran kepada kita semua.Setiap yang berlaku itu pasti ada hikmah yang tersembunyi tanpa kita sedari.



  Kami membesar bersama,sebagai jiran.Jarang bertegur sapa,tapi arwah mak aku menghormati keluarganya kerana mereka adalah keluarga India vegeterian,hanya makan sayur.Jadi tidak timbul soal halal haram apakala mereka menghulurkan sepinggan maruku kepada keluarga aku setiap kali tiba hari perayaan mereka.Dan begitu juga,apabila tiba Aidilfitri,arwah mak akan menghulurkan sepinggan kuih untuk keluarga mereka.Lain-lain hal ,aku tidak tahu bagaimana kerana aku jarang dengar perbualan mak.Kalau aku pasang telinga,mak mesti kata aku penyibuk,sudahnya aku buat hal sendiri.Tapi..seberkas sepi,masih di situ...

   Aku ada seorang kakak dan tiga adik.Aku anak kedua,semua kata anak kedua bersifat rebel,menyendiri,berahsia,boleh diharap dan apalagi.Dia pula aku kira anak bongsu.Kerana aku tidak pernah lagi melihat ada budak lain selepas dia.Oh ya,dia ada tiga kakak dan seorang abang,yang semuanya berjawatan tinggi dan kahwin di luar negara.Aku tahu sebab dia yang bercerita.Yang aku tahu juga,dia menjaga emaknya sebaik mungkin,ya dia anak yang mulia.

    Suatu hari..."Selamat pagi...tak pergi kerja?" Dia menegur aku dari pagar sebelah.Aku ketika itu sedang menyidai kain selepas siap membasuhnya sebentar tadi.
     "saya cuti,kakak balik petang nanti ,nak masak untuk mereka..."
     "owh...masak apa? Awak mesti pandai masak kan?"
     "Biasa-biasa saja..."
     "Awak pun,masak juga untuk mak awak kan?"
     "Ya...masak yang biasa-biasa saja juga..."

      Suatu hari...."Selamat pagi..hari minggu hari ni.Tak ke mana-mana? Dia menegur aku sambil membersihkan longkang yang memisahkan laman tepi kediaman kami.Ada pagar hijau menjadi pembahagi kawasan dan di tepi-tepinya ada pokok cili,pandan,serai dan beberapa pokok herba lain.
      "Tak,saya lebih suka duduk rumah..."
      "Tak sunyi ke?"
      "Dah biasa..sejak dulu.Lepas mak meninggal,saya terus duduk rumah ini walaupun kakak saya ajak duduk di pekan..."
       "Owh..."

       Suatu malam...Aku duduk di pangkin kayu tepi dapur menikmati cahaya bulan.Bulan 15,cahaya penuh memancar.Sambil menghirup teh panas,enak juga mengira bintang.
        "Hai..dah makan malam? Kakak tak balik harini..?" Dia muncul dari pintu dapurnya sambil menyidai beberapa helai kain di pagar rumah.
        "Tak...eh nak minum teh? Jemput,saya ada buat kek petang tadi...jemput minum.Sekejap saya ambil kunci pagar..."Aku buka mangga kunci pagar dan dia hampiri duduk di pangkin.Di hadapan kami ada meja kecil,muat untuk dua cawan dan sepiring kuih.
        "Mak awak dah tidur?" Aku tanya dia.
        "Dah,saya dah bagi dia ubat.Tak sunyi ke duduk sendirian..."dia tanya aku.
        "Tak..banyak perkara saya buat.Membaca,mengemas.siang saya bekerja,hari minggu buat kek...ini kek saya buat petang tadi.Saya makan seorang...jemputlah makan."
        "Terima kasih...sedap."
 Dia makan perlahan-lahan sambil menghirup teh.
        "Saya masuk dulu..."
       "Ok..Selamat malam."
       "Ok..selamat malam juga.Jangan lupa kunci pintu pagar.."
 Bulan jadi saksi,matahari juga saksi,angin pun jadi saksi,awan apatah lagi,kerana dia suka awan.Semuanya jadi saksi persahabatan kami yang kian ampuh.Persahabatan yang kemudian bercambah sedikit tunas rasa.Membawa beda kepada sebuah rasa asing yang menenangkan, terkawal dan selesa dalam khutub khanah jiwa kami.
   
        Hujan turut jadi saksi perasaan kami kala berpasaran di pagar.Aku sudah tidak mengunci lagi pintu pagar yang memisahkan kami.Kerana apabila hari hujan, kain yang aku sidai selamat di dalam bakul tertutup dengan palstik.Dia tolong selamatkan kain itu dari hujan.Dan kadang kala,kasut sukannya kering sebab aku sentiasa memastikan hujan tidak membasahkan kasut kepada sepasang kaki yang gemar berlari itu.Dia gemar berlari,untuk menghilangkan sepi katanya.
      Wajarlah dia perlu mempunyai tubuh badan yang sihat,kerana katanya dia ingin hidup lama.Dia tidak mahu menyimpan seberkas sepi yang sudah lama disimpanya.Tugasnya sebagai pengamal undang-undang membuatkan dia sibuk di mahkamah dan tidak sempat bersukan,jadi dia sering mengambil masa sekitar 5 pagi untuk berlari sekitar daerah tempat kami tinggal dan pulang awal pagi,bersiap untuk ke tempat kerja.Aku tahu kerana dia sudah memperincikan segalanya pada aku.Dia berlari untuk menghilangkan sepi.Kerajaan kasih sayang itu sudah menakluk banyak kawasan dalam daerah hati sepi kami.Kalau dulu banyak ruang sepi dalam hati,tapi kini ruang sepi sudah ditakluk kasih sayang.Namun ,masih ada lagi ruang sepi itu...selagi dia tidak mengucapdua kalimah syahadah,sepi itu masih ada dalam hati aku dan begitu juga dia.Dia tidak boleh memiliki aku selagi dia tidak melafazkan ucap suci itu......
       Tidak cukup dengan pertemuan di sebalik pagar kala berpapasan,aku memanjangkan bicara menerusi SMS dan Skype.Kadangkala dia sengaja membuka sedikit bilah-bilah cermin tingkapnya supaya aku tahu dia belum tidur.Nakal juga dia,tapi aku suka sikap nakalnya yang mahal itu.Bukan selalu pun dia membuka tingkap itu.Mungkin ketika membiarkan tingkapnya terbuka itu,dia ingin melepaskan resah sepinya pada aku menerusi ruang udara yang mengalir masuk ke dalam ruang rumahku juga.
        Lama kami bersahabat,atau lebih tepat,kami menganyam rindu dalam senyap,merencanakan perasaan kami supaya lebih subur dan kami hanya menuggu waktu untuk menetapkan bilakah dia akan mengucap dua kalimah syahadah.
       Pada suatu hari,aku terpaksa ke luar daerah...tugas mengeheret aku ke mana sahaja.Kami bertemu di lokasi biasa,sambil menikmati secawan teh panas,manakala dia membawa sendiri segelas susu panas dari dapurnya.
        "Berapa lama ke luar daerah....?" Sayu saja suaranya.
        "Seminggu...tak lama lah."Aku jawab ,juga sedih sebenarnya.
        "Jaga diri...saya akan sepi kelak..."
        "Saya sepi juga...jangan berlari ketika saya tiada.Boleh?"
        "Saya sepi,saya perlu berlari...bila berlari,saya tidak akan berasa sepi lagi..."
        "Kalau itu yang terbaik.Hati-hati berlari...dah beli kasut baru kan?"
        "Ya...saya akan terus berlari...kerana awak di sisi saya.Dalam tidur,dalam jaga..."Dia senyum sambil hirup susu panas.
         "Saya pun sepi,kalau awak tiada depan mata...masa ini amat berharga.Esok bila awak tiada,teh,pangkin kayu,bulan dan cengkerik akan lihat saja saya minum teh tanpa awk..."
         "Sepi kan...kita berkongsi sepi.Awak balik nanti saya ada kejutan untuk awak..."


        Aku keluar daerah,dia meneruskan kerja,sambil berlari menghilang sepi.Kesibukan membuatkan aku tidak menelifon dia.Emelnya tidak sempat dibuka,tapi sepi aku terisi kerana aku menerima SMS dari si dia setiap hari.Tiga kali sehari tanpa gagal,berpesan supaya aku menjaga diri,menyimpan seberkas sepi untuknya dan dia mahu aku tabah...aneh!
        Seminggu ke luar daerah,aku balik ke rumah.Sepi bergayutan di mana-mana.Memandang ke rumahnya di sebelah,dan sepi yang bermaharajalela...sepi menguasai keadaan.Aku pujuk hati supaya jangan sepi.Selepas solat isyak,aku buka komputer untuk baca emelnya yang sudah dua hari tidak aku balas.Rindu bergentayangan.....
     

      "Assalam...sepi?Tidak lagi bukan? Saya sudah buang sepi jauh-jauh.Saya sudah memutuskan untuk menguburkan sepi itu...membungkusnya dengan kemas,letakkan ke sisi..kerana sepi saya sudah terisi.Saya sudah membuat keputusan untuk menguburkan sepi saya pada sebuah kehidupan seorang Joseph Gunalan kepada seorang Yusuff Abdullah.Saya sudah melakukanya...ada masa dan ketika nanti kita selesaikan segala-galanya.Dengan izin Allah,saya ingin teruskan hidup dengan awak di sisi..kalau dulu rumah awak di sisi rumah saya...kini awak di sisi saya..kita simpan seberkas sepi itu ya...Salam Yusuff."

Itulah,emelnya kepada aku yang membuatkan adrenalin aku mengembara dengan laju pada segenap ruang sepi dalam kerajaan hati.ketika aku sedang menaip emel balas...ada ketukan di pintu.
            "Ya..selamat malam.."
            "Cik Wardatul Aini,ada bungkusan untuk Cik,dari adik kami.Yusuff..dia meninggal pagi tadi,meninggal dunia akibat dilanggar kenderaan ketika balik dari jogging.Jenazahnya sudah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Bukit Kiara ...ada beberapa barang lagi dalam rumah kami yang perlu Cik Wardatul ambil.Marilah.."
           Kakaknya menarik tangan aku menapak ke pintu dapur rumahnya.Aku seperti hilang kata.Memasuki rumahnya,ada sepi..
           "Inilah bilik Yusuff,buka almari itu..ada hak milik Cik Wardatul di dalamya." Aku masuk,menapak dan melangkah.Kubuka almari ukir itu.Ada senaskhah Al-Quran.beberapa buku agama dan satu fail bertulis tangan di luarnya: Untuk Cik Wardatul Aini,semoga sepi kita akan terisi.
           Ku buka fail berkenaan.Dia mencetak semua email aku kepadanya,email dia kepada aku,semua sms aku kepadanya dan segala kertas dan kata-kata yang aku ucap ada terakam dengan bersih dan kemas.Sekeping sijil pengesahan daripada Jakim juga ada dikepilkan.Dia,Yusuff yang aku sayangi sampai bila-bila.Ketika aku melangkah keluar dari biliknya,menuju pintu dapur rumahnya untuk balik ke rumahku,sepi menguasai cakerawala..bergentayangan di angkasa.
           Ahhh..sepinya hati! Yusuff,yang sangat baik hati dan penyayang,aku sayang kamu.Akan aku simpan seberkas sepi di dalam kamarmu di dalam hati aku sampai bila-bila.





Friday, 5 April 2013

DOA

   Bismillahirhmanirrahim..segala pujian untuk yang maha besar,segala sembah kurnia untuk Illahi yang menjadikan segala ciptaan dari sebesar zarah sehingga sebesar-besar jadian.Dari Dia kita datang dan dari Dia kita kembali..subahanallah.






        Apa khabar kedua Ibu & Bapa kita pada hari ini? Apa khabar sahabat-sahabat kita pada hari ini? Apa khabar adik beradik kita pada hari ini? Apa khabar guru-guru kita pada hari ini?
         Soalan yang kadang-kadang kita ajukan pada diri atau jarang-jarang atau tidak pernah terlintas langsung walau satu soalan pun di fikiran atau di benak kita.Terkadang kita lupa pada mereka ini semua kerana kejayaan yang kita kecapi kini adalah rentetan dari pengalaman yang kita lalui dari pertemuan kita dengan mereka ini semua dalam hidup kita.Kita lupa kerana suatu masa dahulu mereka inilah yang pernah bersama kita.Adakah kita akan selalu mengingati mereka atau sekurang-kurangnya mendoakan mereka dari kejauhan mata kita memandang.
          Sukar sebenarnya hakikat kehidupan ini untuk kita sentiasa mengingati seseorang jika tiada kepentingan yang ada pada mereka untuk diri kita.Inilah hakikat yang kita perlu akui sebenarnya bahawa kita ada kepentingan dakam setiap hubungan dengan manusia di dunia ini.Sedari kita muncul di dunia ini Ibu & Bapa adalah orang yang terpenting dalam menyambut kedatangan kita.Tidak dibiarkan kita seorang keluar di dunia  ini seorang diri terkapai-kapai untuk penghidupan yang baru kita mulai.Mereka menatang bagai minyak yang penuh sepenuhnya menjaga segala dari sekecil-kecil perkara sehingga sebesar-besar perkara.Membanting segala keringat,tenaga,kekuatan ,fikiran mencari ruang dan peluang untuk lingkaran penghidupan kita didunia ini.Di banting segala kudrat yang ada semata-mata untuk menghidupkan manusia sekerdil kita.Dari kita didokong sehingga kita mampu berjalan di atas kaki sendiri itu semua dengan bantuan penuh kasih dan sayang kedua Ibu Bapa kita yang tidak pernah meminta walau sesen wang ringgit sebagai balasan atas segala pengorbanan yang dilakukan.Dari kita makan di suap sehingga mampu menikmati makanan kegemaran kita sendiri ini semua atas rasa tangungjawab yang teralas di bahu mereka sedaya upaya di penuhi perut kita dengan sumber rezeki yang mereka usahakan.Walau sesuap nasi yang kita makan itu semua dari hasl titik peluh mereka sehingga kita berdikari sendiri itupun mereka tidak meminta untuk disuapkan apabila mereka tidak mampu untuk menyuap nasi di mulut sendiri.Tidak pernah walau sesaat mereka lupa akan penghidupan kita,didoakan kita dalam setiap masa mereka agar kita terus meniti kehidupan ini dengan sempurna.
       Siapa adik beradik kita? kamu..kamu..kamu kenal abang..kakak..adik-adik kamu semua????
sedang apa mereka kini? Abang atau barangkali kakak..susah sebenarnya hendak menjadi seorang yang paling tua dalam lingkaran adik-adik.Tidak juga mudah untuk jadi adik kerana biasanya kita akan lebih bersungguh-sungguh untuk membuktikan kita juga mampu menjadi yang terbaik kepada abang atau kakak kita.Kebiasaanya mereka ini sebagai contoh,rujukan,tempat berkongsi cerita.Hakikatnya adik beradik  adalah teman yang paling rapat untuk kita gaduh dan dengki..teman yang paling rapat untuk kita kejar-kejaran..teman yang paling rapat untuk kita berkongsi makanan..teman yang paling rapat untuk memujuk kita dari kesedihan..teman yang paling rapat dalam menguruskan kehidupan kita setelah Ibu & Bapa..teman yang paling mudah untuk kita meminjam duit dalam keadaan kita susah..teman yang paling sempurna untuk kita berkongsi segala perasaan suka dan duka..gembira atau bersedih..kecewa atau sengsara.Itulah sebenarnya teman yang Terbaik untuk kita di dunia ini.Hakikat yang kita berkongsi rahim dengan mereka,hakikat kita berkongsi kasih dengan Ibu Bapa kita,hakikat kita berkongsi baju dan seluar,hakikat kita berkongsi tilam dan katil..hakikat yang kita berkongsi pinggan untuk makan,hakikat kita berkongsi segala kenangan terindah dan detik-detik pahit sepanjang penghidupan kita dan teman yang Terbaik kerana abang atau kakak atau adik adalah teman yang akan memandikan,mengkafankan,menguburkan,membacakan yasin dihujung pengakhiran kehidupan ini sebelum dunia kita gelap gelita di temani Munkar dan Nangkir.
    Apa khabar sahabat-sahabat kita? dimana sahabat-sahabat yang pernah ketawa bersama kita? di mana sahabat-sahabat yang pernah berjuang bersama kita? di mana sahabat-sahabat tempat kita meminjam duit? di mana sahabat-sahabat yang berkongsi rumah dengan kita? di mana sahabat-sahabat yang berkongsi Maggi dengan kita? di mana sahabat -sahabat kita? Apa pun segala kenangan kita bersama sahabat kita itulah fitrah manusia yang memerlukan sahabat untuk bersama-sama dalam penghidupan kita.Sahabat yang akan mewarnai hari-hari kita.Seorang sahabat yang baik mampu mengubah sahabatnya menjadi yang terbaik,seorang sahabat yang bagus mampu mengangkat darjat sahabatnya,seorang sahabat yang baik  mampu membimbing sahabatnya kearah kebaikan,seorang sahabat yang Terbaik adalah seorang yang mampu mendoakan sahabatnya setiap masa tanpa pengetahuan sahabat yang didoakanya.Sahabat yang berguna adalah sahabat yang mampu berdiri bersama-sama berjuang dalam penghidupan.Tiada istilah mengambil kesempatan di atas persahabatan mereka.Keihlasan persahabatan tidak terhambat dengan wang ringgit,tidak terbatas dengan menumpang kemewahan sahabatnya,tidak terhambat dengan segala fitnah-fitnah manusia,tidak terhambat dengan cerita-cerita dunia.Dua sahabat yang baik akan sentiasa beiringan berjalan menuju jalan yang sama,bersama walau di mana sahaja berada,bersama walau di kejauhan,bersama dalam menempuh kesusahan perjuangan kehidupan.
       Guruku..dimana guru-guru kini? kita ada sekurang-kurangnya seorang guru untuk mengajar kita tentang Ilmu.Masih ingatkah kita pada semua guru-guru yang pernah mengajar kita semenjak kita mengenal huruf A-Z,mengenal 1-10.Guru itulah cahaya yang melimpahkan segala ilmu didada memperjuangkan nasib untuk membela anak bangsa agar menjadi insan yang berilmu dan berguna pada diri,masyarakat dan dunia.Tiada guru yang mendoakan keburukan kepada anak muridnya.Ilmu yang guru-guru kita hamburkan itulah yang akan kita gunakan dalam kehidupan kita.Ilmu yang guru sampaikan itulah yang menyuluh kita kepada jalan yang benar agar tidak tersesat di kemudian hari.Manusia akan gelap tanpa ilmu,ilmu yang kita cari mestilah berguru,jadi guru yang terbaik adalah guru yang memberikan ilmu dengan ihklas dengan ilmu itu mampu memberi petunjuk kepada muridnya sehingga ilmu itu sendiri menjadi penyelamat kepada guru dan juga muridnya bersama.Tidakkah manusia yang mati akan membawa 3 perkara 1.amalanya 2.ilmu yang diamalkan 3.doa anak yang soleh.Jadi betapa pentingnya guru dalam kehidupan kita yang akan membela kita dengan ilmunya.Biar sebesar mana menyampahnya kita pada guru kita,biar sedegil mana kita dengan guru kita,biar bodoh mana kita dalam menuntut ilmu guru kita,biar di caci untuk menuntut ilmu..ingatlah guru adalah insan yang perlu dihormati,disanjungi dan di sayangi kerana ilmunya itulah yang akan memberi kebahagiaan kepada kita di akhirat nanti.
           Alhamdulillah..segalanya sudah dihuraikan,jadi manfaatkanlah segaka ruang dan peluang yang masih ada untuk kita bersama-sama menghargai setiap insan yang ada di sekeliling kita.Mendoakan mereka tidak akan memufliskan kita,Mendoakan mereka tidak akan papa kedana kita,Mendoakan mereka tidak akan hina kita di dunia ini..Tapi sebaliknya mendoakan setiap insan yang berjasa kepada kita adalah perkara yang terbaik yang kita lakukan kerana kita menghargai setiap jasa mereka kepada kita.Kita menghargai setiap titisan peluh mereka tanpa pengetahuan mereka,kerana "tangan yang memberi itu lebih baik dari tangan yang menerima".